Awesome night card, pt. 85

Tiada Tajuk Yang Sesuai

Masa cuti semester, saya akan kembali ke rumah famili di Johor. Oh ya, ini sikit cerita waktu saya masih ’menuntut’ di universiti – konon. Masa itu, cuti semester agak panjang, meledak sampai tiga bulan. Gila!

Jadi, saya hanya melepak di rumah. Sangat-sangat tak produktif. Tapi, oleh kerana saya individu yang berpegang kepada estetika 'anti kebosanan hidup', saya terpaksa mencari jalan meloloskan diri dari empangan kebosanan selama tiga bulan ini. Lalu apa yang saya lakukan?

Adakalanya, saya akan merayau-rayau sekitar Johor Bahru, tapi agak selalu juga saya terlajak masuk ke Singapura tanpa sebarang motif yang jelas. Ada waktunya, saya terlajak ke pulau bangang ini dua tiga kali dalam seminggu.Tetap tanpa sebarang motif. Keluar rumah pada seawal pagi dan pulang di awal pagi keesokan harinya sudah jadi umpama rutin pula. Sampai ke satu tahap, saya jadi pokai lalu kegiatan liar ini pun tamat secara automatik.

Oleh itu, kaedah paling enteng yang saya guna pakai untuk membunuh kebosanan melampau ini ialah dengan melangok depan kaca TV, hampir sepanjang masa – setiap hari.

I’m not a chef, I’m Italian, kata David Rocco.

Ada dua rancangan TV pilihan waktu itu bagi saya. Oleh kerana kedua-dua siaran ini bersiaran di sebelah pagi, dari Isnin sampai ke Jumaat, setidak-tidaknya saya ada alasan paling kukuh untuk saya bangkit tidur sebelum tengah hari. Dua-duanya adalah berkaitan masak-masak. Satu, kendalian Jamie Oliver, yang kedua dihos oleh David Rocco. Saya tak mahu cerita tentang Jamie, walaupun melihat cara beliau memasak secara bergelut-gelut itu tampak menarik juga.

Rancangan masak David Rocco ini yang lebih syok, bagi saya. Ini kerana ia bukan rancangan masakan semata-mata. David Rocco ini, yang tak mengaku chef, adalah warga Kanada, tapi berdarahkan orang Itali. Jadi, dipaparkan dalam rancangan ini, yang penggambarannya dibuat di Itali, gaya hidup orang di sana, yang berselang-seli dengan adegan beliau memerah lemon, menuang wine, mengerat-ngerat lada, mencelur spagheti, sampailah proses merenjis-renjis garam, ke dalam kuali leper, secukup rasa.

Sebetulnya, saya tak ambil port dengan resepi-resepi keramat beliau.

Tapi, yang lebih menarik perhatian saya ialah bagaimana babak-babak yang menampilkan gaya hidup masyarakat di Itali di sana. Mereka hidup dengan tenang. Ditunjukkan bagaimana relaksnya makcik-makcik Itali ini, dengan santai menguli atau mengerat-ngerat spageti mentah, hanya di belakang rumah, di celah lorong-lorong. Jalan-jalan raya tampak tak terlalu sibuk, malah David dalam rancangan ini, hanya menggunakan ‘buggy’ untuk ke hulur-ke hilir, terutamanya untuk ke pasar. Bayangkan kalaulah di Kuala Lumpur, warganya hanya menggunakan ‘buggy!’ Saya sendiri pernah berangan untuk membeli sebiji menatang ini, yang kononnya akan saya gunakan jika saya menetap di tengah ibu kota.

Waktu petang hari minggu pula, dalam satu episod, ditunjukkan mereka berjalan kaki beramai-ramai, sambil membawa sepanduk, bendera, segala macam panji-panji, sambil bernyanyi beramai-ramai, menuju ke stadium untuk menyaksikan perlawanan 'Serie-A.' Tak ubah seperti mahu ke medan perang. Cemburu betul saya!

Penulisan ini terhenti untuk seketika waktu - tiada idea.

Baiklah, saya sambung semula tulisan ini, setelah hampir dua jam stuck. Dengan topik yang sama sekali berbeza. Saya cuba sekali lagi, setelah entah berapa puluh kali saya tekan butang delete.

Saya agak keliru sebenarnya, disebabkan saya rasa, saya punya beberapa topik yang ingin saya utarakan, tapi akhirnya saya terkandas, terperangkap, akhirnya menemui jalan mati. Tiada ayat yang cukup molek untuk mencitrakan idea atau perasaan saya, secara jujur. Pendek kata, yang sebenarnya kepala ini agak berserabut!

Huh, nampaknya, saya sudah semakin melalut.

Selalu juga, hari Ahad sudah tidak menjadi sesuatu yang menarik, bagi saya. Ini kerana, tiada sebab lain, melainkan betapa paranoidnya saya tentang kedatangan hari Isnin. Isnin, sudah jadi simbol, penuh puaka, betapa saya tak cukup gembira dengan apa yang kita persetujui sebagai ‘pekerjaan.’ Saya boleh berjalan-jalan, berborak-borak, atau bergelak ketawa, pada hari Ahad, walhal fikiran agak sasau mengenangkan kedatangan Isnin. Sebab itu, saya sentiasa cuba menangguh, atau melambat-lambatkan kedatangan Isnin dengan tidur lewat, yang sebenar langsung tak bermakna, kerana saat saya tidur lewat itu, hari sudah pun Isnin.

Hidup di negara ini, yang seperti sedang merangkak-rangkak, kita tak punya banyak pilihan.

Untuk perenggan yang seterusnya, saya terpaksa tekan delete, sekali lagi.


Mohd Ikhwan Abu Bakar

Comments